Taklimat Khas tentang Perkembangan Terikini dalam Perang Iran-US-Israel dan Krisis Kemanusiaan Penjajahan Palestin
Dr. Sharif Abu Shammala, CEO Al-Quds Foundation Malaysia (QFM) mengunjungi Pejabat ACCIN di Bangunan PERKIM, Kuala Lumpur pada hari Selasa 28hb April untuk memberikan taklimat khas untuk menerangkan perkembangan terkini dalam Perang Iran-US-Israel dan kaitannya dengan krisis kemanusiaan yang melanda Palestin yang masih di bawah jajahan tentera Zionis Israel. CEO ACCIN, Hj Ir Mohd Jamaludin Shamsudin hadir untuk mengalu-alukan beliau, bersama dengan ahli gabungan ACCIN yang lain.
Semasa taklimat ini, Dr. Sharif bermula dengan situasi geopolitik yang terkesan oleh serangan US-Israel terhadap Iran, kesannya terhadap usaha untuk menentangnya, dan cabaran dalam menyeru untuk perpaduan ummah.
Abu Shammala juga menerangkan kezaliman Israel terhadap warga Palestin di Gaza, di mana mereka perlu mengikuti gencatan senjata yang memihak Israel dan terpaksa mengharungi kekurangan dari segi makanan, ubatan, air, tenaga elektrik dan bahan binaan. Beliau juga membahas tentang bagaimana serangan 7hb Oktober 2023 adalah suatu rancangan Hamas yang telah dilaksanakan dengan jayanya. Faktor yang menyebabkannya berbeza dengan serangan ke atas Israel sebelum ini adalah skala serangan balas dendam Israel yang sama sekali tidak seimbang dan lebih ganas daripada tahun 2014, 2012 dan 2008.
Taklimat khas tersebut diakhiri dengan sesi bergambar berkumpulan dan diikuti dengan penyerahan cek kutipan derma ACCIN kepada QFM, hasil daripada Misi Kemanusiaan: Kempen Ramadhan Gaza.















