Kenyataan Media: ACCIN menyokong seruan Menteri untuk melarang penyediaan minuman beralkohol di majlis rasmi kerajaan. ACCIN menyeru kerajaan membentuk Pelan Tindakan Nasional Pengawalan Alkohol
The Allied Coordinating Council of Islamic NGO Malaysia (ACCIN) menyokong sepenuhnya kenyataan rasmi Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), bahawa penyediaan minuman beralkohol di acara rasmi kerajaan boleh merosakkan imej Malaysia sebagai negara Islam dan Hab Halal Dunia.
Beliau telah memberi amaran bahawa “Perbuatan menghidang atau menonjolkan minuman berasaskan arak dalam majlis rasmi kerajaan adalah bertentangan dengan hukum syarak, moral, dan undang-undang negara. Islam bukan sahaja mengharamkan pengambilan arak, tetapi juga segala bentuk kerjasama dan penglibatan dengannya.” Beliau menambah bahawa tindakan sedemikian boleh menimbulkan kegusaran di kalangan masyarakat umum dan menggesa supaya keharmonian negara dipelihara dengan menghormati sensitiviti umat Islam.
Seiring dengan perkembangan ini, ACCIN menyokong kenyataan dan amaran Menteri dengan mengemukakan perkara-perkara berikut untuk menyokong pengharaman alkohol:
1- Sebuah kajian menunjukkan 45% daripada remaja yang mengambil alkohol secara kerap adalah di bawah umur 18 tahun. Secara kesuluruhan, pengambilan alkohol juga telah bertambah daripada 8.4% pada 2015 kepada 11.8% pada 2019.
2- Sebuah kajian kesihatan nasional pada tahun 2017 mendapati 37.7% daripada remaja mendapatkan minuman keras daripada keluarga sementara 33.3% daripada remaja dilapurkan mengambil alkohol kali pertama di antara umur 12 dan 13 tahun.
3- Masalah ketagihan alkohol serta bahayanya telah didokumentasikan dengan meluas. Kes-kes memandu dalam keadaan mabuk, jenayah, keganasan rumah tangga, keruntuhan institusi keluarga dan kerugian dari segi ekonomi yang diakibatkan daripada masalah tersebut kian meningkat. Alkohol dijual di merata tempat termasuk di kedai-kedai serbaneka berhampiran kawasan perumahan.
4- Kami mendesak wakil rakyat (Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen) untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat deaipada kepentingan pihak swasta yang mempunyai kepentingan tidak hanya untuk mengekalkan keadaan sedia ada, tetapi juga untuk terus menormalisasikan pengambilan alkohol, seperti yang dilihat pada majlis makan malam Global Travel Meet 2025 (GTM 2025) baru-baru ini.
5- Ahli Parlimen mesti mempertimbangkan penyalahgunaan alkohol terutamanya golongan miskin dan B40 yang paling terjejas oleh kesan negatif pengambilan alkohol berlebihan.
6- ACCIN menyeru kerajaan untuk membentuk Pelan Tindakan Nasional Pengawalan Alkohol bagi mengawal pengeluaran, jualan dan pengambilan alkohol di negara ini.
Kami berharap pihak berkuasa yang berkaitan akan mengambil tindakan untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak penganjur serta pegawai sektor industri pelancongan yang hadir bagi memastikan keadaan sedemikian tidak berulang lagi pada masa hadapan.
Hj Ir Mohd Jamaludin Shamsudin
CEO ACCIN
9th October 2025







