Perikatan Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan Malaysia (ACCIN), menyeru rakyat Negeri Sembilan untuk membuat pilihan dengan penuh bijaksana dengan menilai calon berdasarkan integriti dan berupaya membina sebuah negeri yang bersih, amanah dan bebas daripada rasuah, menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.
ACCIN yang menggabungkan 18 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menggesa pengundi supaya memilih parti dan calon yang jelas, berani serta tegas dalam mengumumkan komitmen memerangi rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan.
Pilihan raya bukan sekadar soal memilih siapa yang akan mentadbir kerajaan negeri. Lebih
penting, ia adalah peluang rakyat untuk menentukan masa depan tadbir urus, integriti dan kesejahteraan negeri.
ACCIN berpandangan, negara berisiko untuk kembali kepada era kegelapan kleptokrasi yang menyaksikan rasuah dan salah guna kuasa kembali berakar umbi di semua peringkat masyarakat dan institusi sekaligus menjadikan usaha kerajaan pada masa kini untuk memerangi rasuah dan salah guna kuasa sebagai sia-sia.
Menurut laporan Transparency International, sehingga tahun 2022, ketirisan dalam perolehan negara dianggarkan sekitar 4 hingga 6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), yang bersamaan antara RM40 bilion hingga RM60 bilion. Sebahagian daripada ketirisan ini dikaitkan dengan amalan perolehan secara rundingan terus yang boleh menyebabkan harga tidak kompetitif dan terlalu tinggi, selain menimbulkan persoalan terhadap nilai serta kualiti yang diterima.
Ketirisan akibat rasuah dan salah guna kuasa bukan sekadar angka dalam laporan. Ia memberi kesan langsung kepada rakyat. Apabila puluhan bilion ringgit lesap akibat ketirisan, negara berdepan risiko pembangunan yang tidak lestari, penyampaian perkhidmatan awam yang terjejas, pengagihan kekayaan yang tidak seimbang serta pembaziran khazanah negara.
Rasuah adalah kanser yang boleh merebak. Jika tidak ditangani secara tegas dan berterusan, ia boleh menular ke seluruh rantaian sistem perolehan serta merosakkan integriti sektor awam dan swasta.
Dalam konteks keselamatan negara, laporan Defence Security Asia turut melaporkan
pendedahan Panglima Tentera Laut bahawa kira-kira 61 peratus aset yang sedang dioperasikan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dikategorikan sebagai “usang”.
Persoalan yang wajar ditanya ialah: Bagaimana keadaan ini boleh berlaku? Apakah punca yang
menyebabkan aset yang sepatutnya telah bersara masih perlu kembali digunakan dalam operasi? Dan siapakah yang perlu dipertanggungjawabkan terhadap kelemahan pengurusan serta perolehan aset negara?
Persoalan-persoalan ini tidak boleh dipandang ringan. Ia memperlihatkan betapa pentingnya
tadbir urus yang telus, sistem perolehan yang berintegriti serta mekanisme pertanggungjawaban
yang kukuh dalam memastikan setiap ringgit wang rakyat dibelanjakan dengan amanah.
ACCIN juga ingin mengingatkan semua pemain politik bahawa pengundi hari ini semakin celik,
kritikal dan peka terhadap isu yang memberi kesan kepada kehidupan mereka. Ledakan
maklumat, khususnya melalui media sosial, telah menjadikan rakyat lebih berani menilai rekod, integriti dan prestasi setiap parti serta calon.
Rakyat semakin muak dengan politik yang hanya berasaskan retorik, janji kosong dan permainan persepsi. Apa yang diperlukan ialah kepimpinan yang berintegriti, berkeupayaan, berprestasi dan berani mengambil tindakan terhadap salah laku tanpa mengira siapa yang terlibat.
DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dalam titah sempena pelancaran buku
Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu karya Allahyarham Tan Sri Dr. Kamal Hassan,
turut menegaskan bahawa rasuah di Malaysia berada pada skala yang membimbangkan dan
boleh mengakibatkan pembangunan tidak lestari, pencemaran alam sekitar, pertumbuhan
ekonomi terbantut, penyampaian perkhidmatan kepada rakyat terjejas, pengagihan kekayaan
yang tidak seimbang serta ketirisan khazanah negara.
Sehubungan itu, ACCIN menyeru para pengundi Negeri Sembilan agar menggunakan hak
demokrasi mereka dengan penuh tanggungjawab dan menjadikan integriti serta komitmen membanteras rasuah sebagai antara pertimbangan utama sebelum membuat pilihan.
Sebelum mengundi, rakyat wajar bertanya kepada setiap parti dan calon:
● Apakah pelan konkrit mereka untuk mencegah dan membanteras rasuah?
● Adakah mereka bersedia mengisytiharkan harta secara telus dan bertanggungjawab?
● Adakah mereka komited terhadap ketelusan dalam proses perolehan serta perbelanjaan
awam?
● Adakah mereka bersedia menyokong tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam rasuah tanpa mengira kedudukan, pengaruh atau parti politik?
ACCIN menegaskan bahawa janji yang kabur dan retorik politik semata-mata tidak lagi
memadai. Rakyat berhak mendapatkan jawapan yang jelas, komitmen yang nyata dan tindakan yang boleh diukur.
Sekiranya sesebuah parti atau calon gagal menunjukkan komitmen yang jelas dan meyakinkan dalam memerangi rasuah serta memastikan tadbir urus yang bersih dan berintegriti, rakyat berhak mempertimbangkan perkara tersebut dalam menentukan pilihan mereka pada hari pengundian.
Undi bukan sekadar memilih seorang calon atau sebuah parti. Undi adalah pilihan terhadap nilai, integriti, amanah dan masa depan negeri.
Ir. Mohd Jamaludin Shamsudin
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)
Perikatan Gabungan NGO-NGO Islam Malaysia (ACCIN)
27 Julai 2026







