deklarasi

KAMI, gabungan NGO-NGO Islam, yang berhimpun dalam persidangan Seminar Kepimpinan Negara ke Arah Kecemerlangan Masyarakat pada 3 Mac 2018, dengan ini mempertegaskan semula prinsip-prinsip kami sebagai entiti Islam yang mendokong kepentingan negara dan seterusnya beriltizam untuk memastikan wujudnya perubahan yang amat diperlukan dalam membina Malaysia yang lebih sejahtera, harmoni dan memelihara kepentingan Islam secara khusus.

KAMI amat bimbang, sesungguhnya perkembangan politik, sosial dan ekonomi di negara kita kini semakin memperlihatkan kecelaruan dan kegoncangan. Penularan gejala sosial dan kebejatan akhlak masyarakat, terserlahnya usaha-usaha pihak tertentu untuk mencabar Perlembagaan Persekutuan, merebaknya fahaman-fahaman yang menjurus kepada liberalisme dan pluralisme agama serta penyalahgunaan kuasa yang semakin serius; antaranya disebabkan oleh ketidaksefahaman di antara pemimpin politik. Kesemua perkembangan ini menggambarkan permasalahan yang semakin merunsingkan sedang berlegar di dalam negara kita.

Seperti yang sudah dimaklumi, pilihanraya umum ke-14 (PRU-14) akan diadakan pada tahun ini. Jika merujuk kepada rekod-rekod pilihanraya yang lalu, kita tidak menafikan adanya pelbagai adegan dan suasana yang tidak menyihatkan berlaku, khususnya menjelang kempen pilihanraya. Hal ini berlaku berikutan wujudnya sentimen kepartian yang menebal, baik dalam kalangan pemimpin-pemimpin politik mahupun rakyat.

KAMI mempertegaskan bahawa kepimpinan negara yang dipilih secara demokrasi pasca PRU-14 mestilah melaksanakan tanggungjawab secara telus tanpa menggadai prinsip-prinsip keamanan negara yang dipersetujui bersama bertunjangkan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang negara.

DENGAN INI, kami mewakili masyarakat Islam yang madani dan wasatiy melancarkan Deklarasi NGO-NGO Islam di Malaysia sebagai manifestasi kepada harapan dan keinginan untuk melihat negara Malaysia yang lebih sejahtera, harmoni seterusnya memelihara kepentingan masyarakat dan negara.

Berikut adalah penegasan Deklarasi kami:

1. Kami menyeru kepada pemimpin politik negara dari kesemua parti, baik dari pihak pemerintah mahupun pembangkang, supaya menghormati Perlembagaan Persekutuan, khususnya berhubung kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Perkara ini perlu dipelihara dan dihormati memandangkan Perlembagaan Persekutuan adalah merupakan rujukan perundangan tertinggi negara.

2. Kami memperingatkan bahawa undang-undang negara perlulah dihormati oleh kesemua pihak, lebih-lebih lagi dalam keghairahan berkempen semasa PRU-14 nanti. Keluhuran perlembagaan dan undang-undang adalah syarat dan keperluan kepada keamanan negara yang menjamin ketatasusilaan masyarakat dan kesejahteraan pemerintahan pasca PRU-14.

3. Kami menuntut agar para pemimpin politik terus memastikan supaya konsep pengasingan kuasa antara cabang-cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman dipelihara dengan sebaiknya. Ketiga-tiga cabang ini merupakan komponen utama yang membentuk struktur Demokrasi Berperlembagaan Negara yang perlu terus diperkasakan. Perkara ini adalah bagi mengelakkan berlakunya penumpuan kuasa mutlak hanya terletak di tangan individu atau pihak-pihak tertentu yang boleh menjurus kepada salahguna kuasa.

4. Kami menyeru agar semua pihak menjunjung sebuah demokrasi yang matang, supaya rakyat yang merupakan para pengundi diberi maklumat dan fakta yang secukupnya daripada semua pihak yang bertanding dalam PRU-14 kelak. Dengan ini, rakyat boleh membuat penilaian sebaiknya untuk membuat pilihan yang terbaik, serta para pemimpin dapat melaksanakan manisfesto seperti yang dijanjikan. Maka kami NGO Islam menggesa SPR supaya memastikan pilihanraya dijalankan dengan telus dan adil bagi memastikan suara dan aspirasi rakyat Malaysia benar-benar dapat diterjemahkan melalui pilihanraya ini.

5. Kami mencadangkan supaya diadakan debat secara terbuka di antara parti-parti politik, khususnya di peringkat nasional untuk memberi peluang kepada semua parti mengemukakan manifesto dan kelebihan masing-masing. Kesemua parti diingatkan supaya berhati-hati memilih calon yang bakal bertanding agar tidak terpalit dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kami melihat hanya calon-calon yang mempunyai pendirian yang jelas mempertahankan kedudukan Islam dalam negara layak untuk dipilih dalam pilihanraya akan datang.

6. Kami menyarankan supaya suara dan pendirian masyarakat madani, termasuklah NGO dan pertubuhan-pertubuhan lain diambil kira secara serius oleh kerajaan dan pimpinan politik dengan hati yang terbuka. NGO Islam khususnya perlulah diperkukuhkan kedudukannya supaya dapat menyumbang secara lebih berkesan dan optimum kepada agama, bangsa dan negara. Selaku kelompok kuasa ke-3 ini pada hakikatnya adalah merupakan komponen terpenting dalam memastikan kelestarian demokrasi negara.

7. Kami memohon supaya kerajaan yang dibentuk pasca PRU-14 memperkasakan para ulama’, para ilmuwan dan cerdik pandai yang boleh berperanan memberikan nasihat yang berguna kepada pemerintah khususnya dan masyarakat awam umumnya.

Kelompok ini perlu diberikan ruang yang sewajarnya sebagai entiti semak imbang kepada kepimpinan negara.

8. Kami menyatakan bahawa kerajaan perlulah memelihara keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia. Sebarang unsur atau usaha yang berkecenderungan untuk mengubah dan menggugat keharmonian ini, termasuklah dengan mempelopori gejala murtad, penyebaran Kristian oleh kelompok evangelis kepada orang Islam serta kemasukan ekstremis agama, Buddha, Hindu dan lain-lain perlulah ditangani semaksimumnya.

9. Kami menggesa supaya kerajaan membanteras penularan fahaman-fahaman salah yang berselindung di sebalik topeng liberalisme dan pluralisme agama perlulah ditangani dan dibanteras sedaya mungkin. Fahaman-fahaman ini boleh menggugat akidah dan keyakinan umat Islam terhadap agama mereka sendiri, lebih-lebih lagi dalam kalangan mereka yang rapuh keimanan dan cetek kefahaman agama. Lebih parah, fahaman-fahaman ini boleh menjerumuskan seseorang kepada sikap skeptik terhadap Islam yang akhirnya menjurus kepada gejala murtad tanpa sedar. Maka kerajaan yang memerintah mestilah memperkasa pendidikan Islam di segenap peringkat di Malaysia.

10. Kami menuntut supaya kerajaan terus menjadi pembela kepada masyarakat Muslim minoriti yang tertindas di negara mereka seperti Palestin, Rohingya, Uighur, Kashmir, Selatan Thai, Selatan Filipina dan lain-lain dengan membawa pendekatan manhaj Malaysia. Dasar terhadap Israel juga perlu diperketatkan.

DEKLARASI INI tidak menafikan bahawa Malaysia sememangnya merupakan sebuah negara yang kaya dengan budaya, hasil bumi dan budi pekerti. Pilihanraya umum merupakan medan bagi rakyat membuat pilihan terhadap kepimpinan negara yang akan mencorak dan memelihara keutuhan dan kemajuan negara ini. Menjelang PRU-14 nanti, adab dan tatasusila dalam berkempen perlulah dijaga, penyediaan padang yang sama rata kepada semua pihak yang bertanding serta lunas-lunas demokrasi negara terus dipelihara. Mereka yang memenangi PRU-14 kelak pula perlulah memastikan kelestarian, keamanan dan keharmonian negara yang tercinta ini terus dikekalkan.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,
Tn Hj Ir. Jamaluddin Samsudin
Presiden,
Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN)

Leave a Reply