vape surat-page-002 vape surat-page-001

SOALAN

Apakah hukum menghisap rokok elektronik dan vapor?

JAWAPAN

Alhamdulillah, dalam Irsyad Fatwa pada kali ini, kami seupaya mungkin cuba menekuni isu yang berkaitan dengan penggunaan rokok elektronik dan vapor atau vape yang sekarang ini begitu berleluasa digunakan termasuk kalangan remaja perempuan dengan pelbagai alasan. Antara alasan paling popular adalah sebagai pengganti kepada rokok sebenar untuk ditinggalkan dan berhenti secara perlahan-lahan atau tadarruj.  Alasan seperti ini seolah-olah menghalalkan cara dan penggunaan rokok elektronik dengan berleluasa. Justeru, Irsyad Fatwa pada kali ini merasa terpanggil untuk membincangkan isu dan hukum berkaitan dengan rokok elektronik ini.

Definisi Rokok Elektrik

Rokok Elektronik (Elecronic Nicotine Delivery Systems atau e-Cigarette) adalah sebuah inovasi dari bentuk rokok konvensional menjadi rokok moden. Pada masakini, rokok elektrik juga dikenali sebagai vape atau vapor.

Pendapat Pakar

Dinyatakan di sini beberapa pendapat pakar berkenaan dengan penggunaan rokok elektronik, antaranya :

  • Jumlah nikotin yang terdapat di dalam rokok elektronik ini berbeza bergantung kenyataan tertulis pada labelnya. Ia boleh mengandungi antara 6–8 mg dalam setiap 1 ml cecair (mg/ml), yang dilabelkan berkepekatan rendah. Ada juga yang mengandungi 16–18 mg/ml (berkepekatan tinggi) atau 24-36mg/ml (berkepekatan ekstra tinggi). Namun harus diketahui bahawa jika semua 60 mg nikotin diserap dalam darah, ia berpotensi untuk membunuh seorang dewasa yang tidak merokok. Jumlah ini bersamaan dengan 30-40 batang rokok konvensional.
  • Saintis dari Bahagian Penilaian Farmaseutikal US Food and Drug Administration (USFDA) telah menguji 19 jenis e-rokok yang telah dikeluarkan oleh dua pengeluar (NJoy dan Smoking Everywhere). Mereka mendapati terdapat bahan ‘tobacco-specific nitrosamines’ (TSNAs), yang boleh menyebabkan kanser dalam kedua-dua jenama e-rokok itu. Malah kepekatan nikotin yang terdapat dalam e-rokok tidak sama dengan nilai yang ditulis pada label. Terdapat sedikit nikotin dalam e-rokok yang dikatakan “nicotine-free”.
  • Pada September 2008, World Health Organization telah mengeluarkan kenyataan: “tiada kajian yang sahih menunjukkan e-rokok ini selamat dan berkesan sebagai rawatan penggantian nicotine. Oleh itu, pihak pengeluar haruslah melakukan kajian yang mendalam untuk menyokong dakwaan mereka bahawa e-rokok boleh digunakan untuk mengurangkan tabiat merokok”[1].
  • Menurut kenyataan yang telah dikeluarkan oleh American Lung Association (ALA), pihak ALA menyatakan kegusaran mereka terhadap penggunaan rokok elektronik kerana kajian awal telah mendapati bahawa rokok elektronik bukan sahaja mengandungi nikotin bahkan terdapat juga bahan-bahan kimia lain yang berbahaya seperti carcinogens[2]. Selain itu, kajian juga menunjukkan bahawa rokok elektronik yang menggunakan voltage yang tinggi mempunyai amaun formaldehyde yang tinggi.  Formaldehydejuga merupakan bahan kimia yang merbahaya kepada tubuh manusia[3].
  • Pihak FDA (Food and Drug Administration) Amerika Syarikat telah menjalankan uji kaji makmal terhadap kandungan rokok elektronik dan di dalam satu sampel kajian,, mereka telah mendapati bahan diethylene glycol iaitu bahan yang digunakan di dalam proses anti beku dan ianya sangat berbahaya kepada tubuh manusia[4].
  • Menurut Dr. Daniel Lee, Pakar Perubatan dan Pernafasan di Pusat Perubatan Prince Court, dakwaan yang mengatakan asap yang terhasil dari rokok elektronik adalah dari cecair biasa dan bukannya dari nikotin adalah salah sama sekali. Hakikatnya, rokok elektronik mempunyai nikotin yang mana boleh meningkatkan kadar denyutan nadi dan pengaliran hormon ‘adrenalin’ serta melembapkan sistem urat saraf. Selain itu, nikotin juga mengakibatkan denyutan nadi yang luar biasa, penyempitan saluran nadi, peningkatan tekanan darah, serangan jantung, angin ahmar dan ulser perut dan usus.
  • Ketua Pegawai Perubatan Pusat Saringan Kanser Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr. Dalilah Kamaruddin ketika dihubungi mengatakan proses pengewapan cecair nikotin yang dihasilkan oleh rokok elektronik, akan disedut oleh pengguna, dan wap nikotin ini mempunyai sifat yang sama dengan asid nitrik. Tambah beliau lagi, asid nitrik merupakan bahan kimia pemangkin kepada berlakunya kanser di dalam tubuh manusia. Selain itu, cecair nikotin, walaupun sukatannya sedikit, dikhuatiri resapannya ke dalam saluran darah akan mengubah kandungan efisien dalam badan kerana selain nikotin, cecair itu juga mengandungi gliserin[5].
  • Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Ashok Zachariah Philip juga berpendapat bahawa rokok elektronik boleh membawa kemudharatan kepada penggunanya. Tambah beliau lagi, kebanyakan bahan kimia yang terkandung di dalam asap rokok kenvesional juga terdapat di dalam rokok elektronik walaupun kadarnya lebih rendah. Beliau juga melalui persatuan menggesa agar Kementerian Kesihatan menimbang untuk mengharamkan penggunaan rokok elektronik melihat kepada kemudharatan yang bakal berlaku[6].
  • Pakar Bedah Jantung dan Paru-Paru Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr. Khairulfaizi Haron berkata, walaupun peratusan untuk pengguna vape mendapat penyakit tersebut terlalu rendah, mereka perlu berwaspada dan berhati-hati. Beliau juga menegaskan bahawa sangkaan menggunakan rokok elektronik adalah lebih selamat berbanding rokok adalah tidak benar[7].
  • Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Helmi Yahya dalam satu kenyataan mengatakan bahawa di dalam rokok elektronik terdapat nikotin dan propylene glycol, dan apabila dipanaskan (dalam cecair) melebihi lima volt, kombinasi bahan cecair itu akan bersifat seperti bahan pengawet. Bahan pengawet inilah yang meningkatkan kemungkinan kanser dalam tubuh badan.[8]

Hukum

Berdasarkan daripada kenyataan di atas dan juga nas yang dinyatakan maka kami berpendapat bahawa penggunaan rokok elektronik juga hukumnya adalah HARAM. Ini kerana seperti yang kami‘illahkan atau nyatakan sebab terhadap hukum merokok terpakai untuk isu rokok elektronik ini bahkan kami nyatakan sekali lagi beberapa alasan antaranya:

  • Qiyas kepada rokok sebenar[9].
  • Kenyataan pakar menunjukkan ia mudarat bahkan boleh jadi lebih mudarat daripada merokok itu sendiri. Ini merupakan asas pertimbangan yang amat kuat kerana mafsadahnya tidak boleh disangkal lagi serta mudaratnya telah diperakui oleh pakar dan badan-badan berautoriti.
  • Pembaziran yang berlaku samaada pada alat vape itu sendiri mahupun bahan cecair yang menjadi hisapannya. Dikatakan bahawa harga alat tersebut berharga sekitar ratusan ringgit dan abgi sesetengah jenis, ianya mampu mencecah hingga ribuan ringgit.
  • Meniru budaya yang bukan Islam.
  • Dilihat tidak bermaruah.
  • Sad al-Zari’ah(menutup jalan menuju kerosakan). Pihak polis kini sedang menggiatkan tinjauan dan siasatan terhadap lokasi-lokasi yang dikesan cuba mengadun sendiri perisa ganja dan ketum bagi memenuhi permintaan segelintir pengguna rokok elektronik[10]. Laporan dari pihak berkuasa juga menunjukkan bahawa penggunaan dadah sintetik dikalangan remaja sedang meningkat dan ini akan lebih memburukkan keadaan jika penggunaan rokok elektronik juga terdapat unsur-unsur dadah didalamnya.[11]. Langkah-langkah pencegahan perlulah dilakukan agar masalah ini tidak membarah dikalangan masyarakat Malaysia terutamanya buat para remaja.

Majlis Fatwa Kebangsaan juga telah mengharamkan penggunaan rokok elektronik melalui fatwanya[12]. Pengerusinya, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abd. Shukor Husin berkata, keputusan itu diputuskan dengan mengguna pakai hukum menghisap shisha yang telah difatwakan sebelum ini[13].  Tambah beliau lagi, apabila telah cukup dapatan iaitu yang pertama membahayakan, kedua ianya membazir dan ketiga memudaratkan daripada segi kesihatan, maka apabila perakuan-perakuan ini sama, maka kita mengatakannya haram.

Terdapatnya fatwa ulama’ yang menyokong tentang pengharaman rokok elektronik ini. Justeru, kami berpendapat seperti itu juga dengan alasan yang diberikan di atas. Untuk ulasan pengharaman, sila rujuk Bayan Linnas Siri-18[14].

Fatwa Ulama’& Pendapat Ilmuan Islam

Kami nyatakan di sini fatwa yang dikeluarkan menyatakan hukumnya sama seperti hukum rokok biasa. Justeru, hukumnya adalah HARAM[15].

Sheikh Muhammad Saalih al-Munajjid di dalam jawapan beliau terhadap isu penggunaan rokok elektronik mengatakan bahawa rokok elektronik hukumnya adalah sama seperti rokok tradisional iaitu haram. Padanya tidak ada kebaikan bagi mereka-mereka yang ingin cuba meninggalkan amalan menghisap rokok beralih dari rokok tradisional kepada rokok elektronik kerana mudaratnya juga sama seperti rokok biasa berdasarkan laporan dari pakar[16].

  • Sheikh Uthman al-Khamis juga berpendapat bahawa rokok elektronik adalah haram kerana ianya memudaratkan[17]. Setiap yang memudharatkan, maka Islam terlebih dahulu akan menolaknya demi menjaga maslahahsekalian umat.

Penutup

Dalam isu ini, ramai juga berpendapat bahawa ia adalah salah satu cara untuk menolong penghisap rokok agar berhenti daripada merokok. Justeru itu, mereka menggunakan rokok elektronik sebagai alternatif kepada cara berhenti merokok. Sebenarnya anggapan ini adalah menyimpang daripada asas kerana dikatakan ada juga bahan nikotin yang asalnya daripada bahan yang boleh menyebabkan ketagihan dan mudarat kepada kesihatan manusia. Kami sepertimana isu merokok juga menyeru kepada khalayak umat Islam untuk meninggalkan penggunaan rokok elektronik atau vapor berdasarkan kepada kenyataan-kenyataan di atas. Alangkah baiknya duit yang kita gunakan untuk membeli rokok atau vapor, kita masukkan ke tabung masjid, menyantuni anak-anak yatim, memberi makan kepada fakir miskin serta membantu keperluan mereka. Semoga Allah kurniakan kepada kita taufiq dan hidayah dan berikan kepada kita kesihatan yang baik. Amin.

Akhukum fillah,

S.S. Datuk Dr.

Leave a Reply