Kredit: ISMA web

Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN)

Tingkat 16, Bangunan PERKIM, 150 Jalan Ipoh, 51200 Kuala Lumpur

Tel: 03-4051 2482

——————————————

MEMORANDUM BANTAHAN

PELANTIKAN EDMUND BON TAI SOON

SELAKU WAKIL MALAYSIA KE

SURUHANJAYA ANTARA KERAJAAN ASEAN BERKENAAN HAK ASASI MANUSIA (AICHR)

BAGI PENGGAL 2016 HINGGA 2018

Kepada

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia

Datuk Seri Najib Bin Tun Abdul Razak

Daripada

GABUNGAN PERIKATAN PERTUBUHAN-PERTUBUHAN ISLAM BUKAN KERAJAAN DI MALAYSIA

(ALLIED COORDINATING COMMITTEE OF ISLAMIC NGOs MALAYSIA) (ACCIN)

1 Ogos 2016

“BANTAH PELANTIKAN EKSTRIMIS LIBERAL SEBAGAI WAKIL MALAYSIA DI MANA JUA FORUM ANTARABANGSA TERUTAMA BERKENAAN HAK ASASI MANUSIA”

Kami, sebagai gabungan badan-badan bukan kerajaan yang tersenarai dalam Memorandum ini, ingin menyampaikan bantahan keras kami terhadap pelantikan Edmund Bon Tai Soon (“Edmund Bon”), seorang ahli Majlis Peguam yang amat terkenal dengan pendirian-pendirian ekstremis liberalnya yang anti-Perlembagaan, anti-Melayu serta anti-Islam, sebagai wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerjaan ASEAN Berkenaan Hak Asasi Manusia dan menuntut YAB Datuk Seri Najib Bin Abdul Razak, selaku Perdana Menteri Malaysia, membatalkan pelantikan tersebut dengan kadar sesegera yang mungkin.

Salah satu wakil gabungan kami telah sebelum ini menulis surat menyatakan bantahan dan pandangan kami berkenaan pelantikan Edmund Bon ini ke Kementerian Luar Negara namun Kementerian tersebut membalas dengan mengesahkan semula pelantikan ini dan gagal memberi respons pada isu-isu yang dibangkitkan.

Oleh yang demikian, kami dengan ini menyampaikan Memorandum bantahan ini menuntut YAB Datuk Seri membatalkan pelantikan tersebut demi menegakkan Perlembagaan Malaysia serta pemeliharaan berterusan kepentingan Melayu dan Islam.

 

Sekian, terima kasih.

Yang Menunaikan Amanah,

……………………………………………

SHAHRIN AWALUDIN

Pengerusi

Gabungan Perikatan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan di Malaysia

(Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs Malaysia) (ACCIN)

 

 

Kepada

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia
Datuk Seri Najib Bin Tun Abdul Razak

Disediakan oleh:

GABUNGAN PERIKATAN PERTUBUHAN-PERTUBUHAN ISLAM BUKAN KERAJAAN DI MALAYSIA
(ALLIED COORDINATING COMMITTEE OF ISLAMIC NGOs MALAYSIA) (ACCIN)

Tarikh
1 Ogos 2016

Yang Amat Berhormat Datuk Seri,

BANTAHAN TERHADAP PELANTIKAN EDMUND BON TAI SOON SELAKU WAKIL MALAYSIA KE SURUHANJAYA ANTARA KERAJAAN ASEAN BERKENAAN HAK ASASI MANUSIA (AICHR) BAGI PENGGAL 2016 HINGGA 2018

Dengan segala hormatnya, kami merujuk kepada perkara di atas.

Di sini kami ingin terlebih dahulu merakamkan ribuan terima kasih kepada YAB Datuk Seri kerana sudi menerima Memorandum yang dikemukakan di sini dan menimbangkan sewajarnya akan isi kandungan Memorandum ini. Sehubungan dengan ini, kami ingin menyatakan di sini kronologi perihal-perihal serta permasalahan yang timbul berkenaan perkara yang ditimbulkan dalam Memorandum ini untuk pemahaman YAB Datuk Seri.

1) Kami merupakan gabungan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tertubuh serta berkepentingan dari segi Perlembagaan Malaysia dan undang-undang serta hal-hal berkait dengan hak asasi manusia, isu-isu Melayu serta hal ehwal agama Islam.

2) Kami sedia maklum bahawa tertubuhnya Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Berkenaan Hak Asasi Manusia atau ASEAN Intergovernmental Commission on Human Rights (AICHR) ini adalah berikutan obligasi negara-negara ASEAN di bawah Perkara 14 Piagam ASEAN yang mewajibkan negara-negara ASEAN membentuk dasar hak asasi manusia secara bersama dan bertepatan dengan aspirasi-aspirasi dan amalan-amalan lazim di negara-negara ASEAN. Kami juga sedia maklum bahawa hasil dari kerjasama serantau ini, AICHR telah berjaya membentuk Perisytiharan Hak Asasi Manusia ASEAN yang telah diterima oleh negara-negara ASEAN sebulat suara pada 2012.

3) Malaysia selaku negara anggota ASEAN menghantar wakilnya di bawah Perkara 5 Terma Rujukan AICHR selaras dengan kehendak Perkara itu. Wakil Malaysia yang terakhir merupakan Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah yang berkhidmat selaku wakil Malaysia ke AICHR selama 5 tahun dari 2010 hingga 2015.

4) Pada 1 April 2016 kami dikejutkan dengan laporan media, khususnya laporan akhbar The Star bertajuk Edmund Bon named Malaysia’s rep in Asean human rights panel yang menyebut bahawa Kementerian Luar Negara telah melantik Edmund Bon sebagai wakil Malaysia ke AICHR yang baru menggantikan Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah bagi penggal 2016 hingga 2018 atas dasar kononnya beliau amat layak berikutan kedudukan beliau sebagai ahli Majlis Peguam dan menduduki jawatankuasa-jawatankuasa Majlis itu berkenaan undang-undang perlembagaan, peguam-peguam muda kebangsaan dan hak asasi manusia serta penglibatan beliau dalam kes-kes kepentingan awam berprofil tinggi mengenai hak asasi manusia di Malaysia. Kami tidak bersetuju sama sekali dengan pelantikan ini dan membantah pelantikan ini sekeras-kerasnya. Kami berpendapat bahawa pelantikan ini adalah bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia, dan mengugat kedudukan Malaysia sebagai negara Islam moderat, serta mengancam kepentingan Melayu dan nilai-nilainya di negara ini.

5) Pada 4 April 2016, wakil dari Centre for Human Rights Research and Advocacy (CENTHRA) telah menulis surat rasmi membantah pelantikan tersebut. Antara alasan-alasan yang dikemukakan dalam surat berkenaan bagi membantah pelantikan tersebut adalah seperti berikut:-

  1. Edmund Bon mempunyai pendirian liberal berkenaan hak asasi manusia yang bertentangan dengan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam moderat.
  2. Beliau telah menzahirkan pendirian liberal ini dalam kapasiti beliau sebagai peguam dan kedudukan beliau di jawatankuasa-jawatankuasa Majlis Peguam berkenaan udang-undang perlembagaan, peguam muda dan hak asasi manusia yang diduduki beliau.
  3. Antara contoh penzahiran ini adalah perasmian aktiviti Seksualiti Merdeka, iaitu golongan Lesbian, Gay, Biseksual, Transseksual dan Pondan (LGBTQ) di Malaysia pada tahun 2010, pembelaan beliau akan beberapa pengganas, seperti ahli-ahli Jemaah Islamiah pada 2001, menghalang pegawai DBKL dari melaksanakan tugasnya pada 2007 dan penggalakkan oleh beliau untuk ibubapa menyaman polis secara tidak berasas berikutan pendakwaan beliau bahawa polis gagal mematuhi peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001 semasa menyoalsiasat kanak-kanak.
  4. Beliau juga terlibat dalam aktiviti-aktiviti menentang Raja-Raja Melayu, seperti pembelaan Shuhaimi Shafie dalam penulisannya mengenai ketidakperluan perkenan Baginda Sultan Selangor dalam perlantikan Setiausaha Negeri, pembelaan dan pengesahan kedudukan Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah pada tahun 2009 menentang pelantikan Menteri Besar Perak yang baru pada ketika itu oleh Baginda Sultan Perak, serta dakwaan beliau yang dibuat melalui Twitter bahawa fatwa yang dibuat Majlis Fatwa Kebangsaan tidak perlu dituruti golongan bukan Islam sebagai tindak balas terhadap tindakan Baginda Sultan Selangor menggariskan larangan penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Islam oleh suatu fatwa pada tahun 1986.
  5. Beliau menyokong penghapusan Akta Hasutan 1948 yang mana seksyen 3(1)(f) melindungi perkara-perkara asas dalam Perlembagaan Malaysia dan bersama menggerakkan aktiviti-aktiviti Majlis Peguam menentang Akta Hasutan 1948.
  6. Beliau mempercayai bahawa Malaysia adalah negara sekular dan ini bertentangan dengan Perkara 3(1) Perlembagaan, serta penghapusan pembezaan taraf antara Bumiputera dan bukan Bumiputera dan ini bertentangan dengan Perkara 153(1) Perlembagaan.
  7. Beliau menyokong penuh kebebasan mutlak bagi golongan LGBTQ dan ini bertentangan dengan Perisythiaran Hak Asasi Manusia ASEAN yang tidak mengiktiraf golongan tersebut.

Pada 8 April 2016 wakil kami yang berkenaan telah menerima jawapan balas dari Kementerian Luar yang menyatakan, antara lainnya bahawa:-

  1. Kementerian Luar mengambil maklum kebimbangan-kebimbangan yang diungkit dalam surat wakil kami yang berkenaan.
  2. Namun demikian, pelantikan Edmund Bon telah melalui proses dalaman kerajaan dan bertepatan dengan Perkara 5 Terma Rujukan AICHR yang turut diamalkan negara-negara ASEAN yang lain.
  3. Kementerian juga telah mengambil kira kriteria lain seperti kebolehan calon dalam bidang kepakarannya, integriti dan pengalaman, dalam pengiktirafan penuh bahawa wakil tersebut mesti berlaku secara neutral menurut prinsip-prinsip Piagam ASEAN.
  4. Oleh yang demikian, menurut kehendak Terma Rujukan AICHR dan pengalaman meluas Edmund Bon dalam penglibatan beliau dalam kes-kes kepentingan awam berkenaan hak asasi manusia selama 18 tahun, Kerajaan percaya bahawa ia telah menimbangkan sewajarnya sebelum memutus untuk melantik beliau.
  5. Kementerian mengulangi kepercayaannya pada Edmund Bon bahawa beliau mampu melaksanakan tugasnya dari segi berkecuali untuk melindingi kepentingan hak asasi Manusia di AICHR.
  6. Kami sama sekali tidak bersetuju dan membantah jawapan yang diberikan oleh Kementerian Luar pada wakil kami seperti yang tertera di atas. Kami menyifatkan jawapan ini sebagai jawapan yang tidak menangani isu-isu yang dibangkitkan oleh wakil kami, yang mana kami menyetujuinya sebagai alasan-alasan kukuh dan utuh untuk pembantahan kami terhadap pelantikan Edmund Bon sebagai wakil Malaysia di AICHR.

Selain daripada di atas, berikut juga dikemukakan beberapa alasan tambahan sebagai jawapan kepada surat balas Kementerian Luar tersebut:-

  1. Pelantikan Edmund Bon tidak selaras dengan Perkara 5 Terma Rujukan AICHR. Perkara 5 Terma Rujukan AICHR menghendaki calon wakil ke AICHR yang berintegriti dan kompeten.
  2. Edmund Bon adalah seorang peguam yang tidak berintegriti dan tidak kompeten dalam bidang undang-undang perlembagaan. Ini jelas dari kenyataan-kenyataan dan tindakan-tindakan beliau yang membelakangkan kedudukan agama Islam dan kedudukan Raja-Raja Melayu meskipun kedua-dua perkara ini merupakan tonggak Perlembagaan Malaysia.
  3. Penglibatan beliau dalam usaha memansuhkan Akta Hasutan 1948 jelas bermotifkan pemusuhan beliau akan perkara-perkara perlembagaan yang dilindungi seksyen 3(1)(f) Akta tersebut, iaitu kontrak sosial, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa pribumi dan kedudukan Raja-Raja Melayu.

Sokongan penuhnya terhadap golongan LGBTQ adalah merbahaya dan merupakan ancaman kepada status Islam serta agama-agama lain di negara ini dan merosakkan institutsi-institusi keagamaan dan kekeluargaan di Malaysia.

Sekiranya pertimbangan menyeluruh dibuat terhadap Edmund Bon, adalah jelas bahawa beliau tidak layak sama sekali memegang jawatan wakil Malaysia ke AICHR kerana Perisytiharan Hak Asasi Manusia ASEAN tidak mengiktiraf hak asasi manusia aliran liberal yang dipegang beliau kerana Perisytiharan berkenaan menggariskan pendekatan hak asasi manusia yang sederhana dan bertepatan dengan nilai-nilai negara-negara ASEAN dan bukan liberal seperti yang dianjur Barat.

Kementerian Luar jelas terkhilaf dalam perlantikan Edmund Bon ke AICHR dan pelantikan ini perlu dibatalkan segera digantikan dengan calon yang lebih layak.

Kami sebagai gabungan pertubuhan-pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) amatlah mengharapkan agar YAB Datuk Seri memberikan perhatian sewajarnya terhadap bantahan kami ini dan membatalkan pelantikan Edmund Bon sebagai wakil Malaysia ke AICHR sesegera mungkin.

Leave a Reply