Berikut Titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di ‘Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat’ di Hotel Marriott, Putrajaya.

Salam Sejahtera

Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan limpah rahmat daripada Nya juga, Beta dapat memenuhi undangan bagi menzahirkan titah dalam ‘Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat’. Konvensyen ini dianjurkan, pada ambang negara menyambut ulang tahun Jubli Intan kemerdekaan, bertujuan memperingati peristiwa bersejarah enam puluh tahun lalu. Pada 5 Ogos 1957, sembilan Raja Pemerintah di negeri-negeri Melayu, memberikan perkenan, menurunkan tanda tangan, menyerahkan kuasa pemerintahan masing-masing, membolehkan tertubuhnya sebuah Persekutuan; sebuah negara baru yang merdeka, dikenali dengan nama Persekutuan Tanah Melayu.

Institusi Raja Melayu adalah subjek yang amat menghidupkan minda Beta. Terlebih dahulu Beta mengisytiharkan kepentingan Beta sebagai seorang Sultan yang sedang bersemayam di takhta pemerintahan Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan. Dengan demikian, Beta tidak terlepas daripada melakukan penilaian bersifat peribadi. Namun status tersebut sebenarnya memberikan kelebihan, membolehkan Beta melakukan penilaian daripada perspektif dalaman serta melakukan tafsiran berasaskan pengalaman, diperlengkapkan dengan adukkan perkara-perkara yang Beta pelajari dan berguru daripada rintihan suara rakyat di serata pelosok negara.

Institusi Raja berakar umbi di bumi ini lebih enam abad yang lalu. Sistem berkerajaan dan bernegara berpayungkan Raja mempunyai landasan sejarah dan tradisi. Pemerintahan beraja secara awal dan semula jadi mencerminkan amalan kesederhanaan – menolak ekstremisme dan untuk sekian lamanya, berperanan sebagai perekat sosial yang telah berjaya menyatukan warga. Istilah ‘KERAJAAN’ berasal daripada perkataan Sanskrit ‘Ke-Raja-An’; mengandungi istilah RAJA, bermaksud rakyat yang tertakluk kesetiaan kepada seorang Raja Pemerintah. Konsep rakyat di negeri Melayu Beraja pada zaman silam, bukannya berdasarkan wilayah sempadan geografi mengikut tradisi Eropah, tetapi hidup di bawah payung naungan dan berpaksikan Raja.

Amalan kesaksamaan terhadap rakyat pelbagai agama, pelbagai kaum, pelbagai budaya, pelbagai bahasa, adalah sebahagian daripada sifat dan citra Raja Melayu. Kesultanan Melayu Melaka sebagai contoh, mengiktiraf bahawa kemajuan, kemakmuran dan perkembangan intelek sesebuah negara, harus didukung bersama antara pembesar istana, dagang dan senteri, serta rakyat jelata, baik anak negeri mahupun orang luar, asalkan Raja, adat resam dan undang-undang Melaka dihormati, berpegangkan semangat di mana bumi dipijak – di situ langit dijunjung. Kerana itu, Kesultanan Melayu Melaka, pada era keagungannya, menggalakkan perkembangan ilmu dan mengamalkan dasar perdagangan terbuka. Pada puncak kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, terdapat lapan puluh empat bahasa dipertuturkan di kota pelabuhan Melaka, sebuah kota kosmopolitan, mempertemukan timur dan barat.

Keagungan Melaka mengikut tulisan Tome Pires pada kurun keenam belas, diperteguhkan oleh Duarte Barbosa, digambarkan melalui tulisan berikut:

“…the city of Malacca is the richest seaport with the greatest number of wholesale merchants and abundance of shipping and trade that can be found in the whole world…”

Sistem beraja telah menjadi benteng penghalang, menyukarkan British melakukan penjajahan mutlak; British sekadar berupaya memperkenalkan sistem Residen, satu bentuk penjajahan tidak langsung yang masih mengekalkan kedaulatan Raja Melayu. British, terpaksa mengadakan rundingan dengan Raja Pemerintah di setiap negeri, dan hanya berupaya melakukan penjajahan secara mencantumkan perjanjian-perjanjian yang diperoleh secara berasingan.

Ketika orang Melayu masih belum memiliki institusi politik yang tersusun, Raja-Raja Melayu secara kolektif berperanan sebagai juru bicara, menzahirkan suara, membela nasib dan melindungi kepentingan bangsa. DURBAR adalah forum Raja-Raja membincangkan perkara-perkara menyentuh urusan negeri dan rakyat. Pada asasnya mesyuarat DURBAR memperlihatkan tanggungjawab bersama Raja-Raja Melayu sebagai pelindung orang Melayu. DURBAR pertama yang berlangsung di Kuala Kangsar, pada 13 hingga 17 Julai 1897, berjaya mempertemukan empat Raja Melayu dari Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Selangor. Empat negeri tersebut dirujuk sebagai Negeri-negeri Melayu Bersekutu, dan Raja-Raja kepada empat negeri berkaitan menganggotai Majlis Mesyuarat Persekutuan yang mengadakan mesyuarat pertama di Kuala Kangsar, pada 11 Disember 1909; tetapi keempat-empat Raja Melayu, kemudiannya menarik diri daripada menjadi anggota pada 2 April 1927 ; sementara negeri-negeri Johor, Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu dirujuk sebagai Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu. Yang perlu diperingatkan, sembilan negeri yang terletak di bawah pemerintahan sembilan Raja Melayu, tercatat dalam sejarah dengan identifikasi NEGERI MELAYU. DURBAR adalah premis kepada penubuhan Majlis Raja-Raja. Mesyuarat Majlis Raja-Raja Negeri Melayu yang pertama diadakan pada 18 Februari 1948, di Kuala Lumpur dihadiri oleh kesemua sembilan Raja Melayu. Menjelang ‘MERDEKA’, lima puluh Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah diadakan, antara tahun 1948 hingga tahun 1957.

Raja-Raja Melayu peka dan memahami denyut nadi dan denyut jantung rakyat. Agama Islam, penggunaan Bahasa Melayu dalam pentadbiran, milik tanah, Pegawai Tadbir Melayu, bidang kuasa penghulu dan kadi, Rejimen Askar Melayu, pendidikan bangsa, The Malay College Kuala Kangsar, Sultan Idris Training College, Kolej Tunku Kursiah, penubuhan tabung pendidikan dan biasiswa di setiap negeri, emansipasi wanita Melayu, adalah antara tuntutan yang dizahirkan oleh Raja-Raja Melayu. Raja-Raja menzahirkan kebimbangan terhadap sektor perlombongan yang meminggirkan orang Melayu sedangkan sektor pertanian yang merupakan sumber ekonomi utama orang Melayu diabaikan.

Kebimbangan akan kemungkinan orang Melayu menjadi kaum minoriti disebabkan imigrasi secara besar-besaran turut dizahirkan. Raja-Raja Melayu menzahirkan kebimbangan terhadap pelantikan Sir Henry Gurney sebagai Pesuruhjaya di Tanah Melayu pada tahun 1948 berasaskan apa yang pernah dilakukan terhadap penduduk Arab, ketika Henry Gurney bertugas sebagai Setiausaha Negara di Palestin. Raja-Raja Melayu turut menzahirkan pandangan terhadap rancangan penempatan semula yang dianggap mencuri hak tanah kepunyaan Melayu.

Perhatian berat Raja-Raja Melayu akan agenda pendidikan, ketara diperlihatkan apabila Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan, Sultan Pahang, Sultan Perak, Sultan Selangor, Raja Perlis, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Pemangku Raja Johor serta Undang Luak Rembau dan Undang Luak Jelebu, mencemar duli berangkat ke Raffles College di Singapura untuk menyaksikan acara bersejarah penubuhan Universiti Malaya pada 8 Oktober 1949.

Kesultanan Melayu adalah satu manifestasi – satu lambang keagungan tamadun bangsa di bumi ini. Sembilan Raja Melayu bersemayam di sembilan negeri berdaulat sebelum terbinanya sebuah Persekutuan. Persekutuan Tanah Melayu, adalah gabungan sembilan negeri berdaulat dengan dua negeri Selat, dilahirkan setelah mendapat perkenan sembilan Raja Melayu, diperluaskan kemudiannya dengan penyertaan Sabah, Sarawak dan Singapura untuk membentuk negara Malaysia dalam tahun 1963; pada 9 Ogos 1965, Singapura berpisah daripada Malaysia.

Penubuhan dan kemerdekaan sebuah Persekutuan dicapai melalui perundingan, persefahaman dan persetujuan tiga pihak, institusi raja, institusi rakyat dan Kerajaan Inggeris. Ketika merangka formula membentuk kerajaan merdeka, warga menerima hakikat bahawa sistem beraja adalah sebahagian daripada sistem berkerajaan dan bernegeri di bumi ini, yang wajar diteruskan. Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra (Almarhum) amat menghayati sistem pemerintahan berteraskan Raja yang terlalu berharga dan terlalu bernilai untuk ditiadakan. Tanah Melayu yang merdeka telah memilih untuk memeterai sistem pemerintahan beraja dengan menjelmakannya dalam bentuk dan acuan kontemporari. Kuasa Raja dan suara rakyat digabung dan diimbang, berpegangkan semangat, mengekalkan yang dikendong dalam usaha mencipta yang baru. Lalu diperkenalkan sistem berkerajaan dan bernegara yang menggabungkan institusi Raja dengan institusi rakyat, berasaskan konsep raja berperlembagaan – demokrasi berparlimen. Kedaulatan Raja diberikan wajah baharu, dirangkaikan dengan suara rakyat dalam satu ikatan harmoni, diluhurkan dengan sebaik pendekatan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri.

Ketetapan untuk terus mendaulatkan institusi Raja adalah satu pelanjutan adat – satu kesinambungan budaya, betapa keindahan adat – betapa kekayaan budaya, kukuh teranyam dalam era modenisasi. Persekutuan Tanah Melayu ketika menghadapi opsyen menggubal PERLEMBAGAAN MERDEKA tidak sekadar mengekalkan tradisi beraja di peringkat negeri malah telah memperkenalkan satu lagi lapisan pemerintahan beraja di peringkat Persekutuan, dengan mewujudkan seorang Ketua Utama Negara bergelar Yang di-Pertuan Agong; Raja kepada seluruh Persekutuan, mengangkat martabat institusi Raja Melayu ke tahap lebih agung. Secara harfiahnya gelaran tersebut bermaksud ‘Dia Yang Terulung Di Kalangan Kami’, ia itu, ‘primus inter pares’. Sesungguhnya, kewujudan takhta Ketua Utama Negara dan kaedah lantikan Yang di-Pertuan Agong, adalah satu kehebatan keaslian inovasi yang telah mengekalkan identiti negeri beraja – rakyat bersultan.

Proses menggubal Perlembagaan untuk penubuhan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka, bermula daripada persidangan yang berlangsung di London, antara 18 Januari hingga 6 Februari 1956. Delegasi Persekutuan Tanah Melayu terdiri daripada:

i. Empat wakil Raja-Raja Melayu.

ii. Ketua Menteri bersama tiga Menteri Persekutuan Tanah Melayu.

iii. Pesuruhjaya Tinggi Inggeris berserta barisan penasihat.

Dengan perkenan Majlis Raja-Raja, sebuah suruhanjaya ditubuhkan untuk merangka Perlembagaan sebuah negara merdeka. Suruhanjaya Reid dipertanggungjawabkan, melakukan kajian, seterusnya mengemukakan perakuan. Antara Jun hingga Oktober 1956, Suruhanjaya Reid mengadakan 118 sesi pendengaran sebelum merumuskan perakuan pada 20 Februari 1957. Di antara perakuan utama dalam draf pelan induk PERLEMBAGAAN MERDEKA menyentuh perkara-perkara berikut:

(i) Keunggulan Perlembagaan.

(ii) Badan Kehakiman yang bebas dengan kuasa melakukan kajian semula kehakiman.

(iii) Kerajaan berteraskan sistem Persekutuan.

(iv) Raja berperlembagaan di peringkat Persekutuan dan negeri.

(v) Perlindungan khas hak Raja-Raja Melayu.

(vi) Kedudukan istimewa orang Melayu.

(vii) Hak kerakyatan kepada setiap orang yang dilahirkan di Persekutuan.

(viii) Hak agama, budaya dan bahasa kalangan bukan Melayu.

Kumpulan Kerja Pakatan Tiga Pihak, mewakili Raja-Raja Melayu, PARTI PERIKATAN dan Kerajaan Kolonial ditubuhkan, untuk meneliti perakuan Suruhanjaya Reid. Raja-Raja Melayu diwakili oleh Penyimpan Mohor Besar, Haji Mustapha Albakri, Shamsuddin Nain, Tunku Ismail dan Neil Lawson, QC; Parti Perikatan diwakili oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra, Datuk Abdul Razak Hussein, Ong Yoke Lin dan V.T. Sambanthan; Kerajaan Kolonial, diwakili oleh Pesuruhjaya Tinggi MacGillivray, Ketua Setiausaha Negara, Sir David Watherston, Peguam Negara T.V.A. Brodie, sementara E.O. Laird bertugas sebagai setiausaha. Antara 23 Februari hingga 27 April 1957, Kumpulan Kerja telah mengadakan dua puluh tiga mesyuarat, melakukan pengubahsuaian kepada perakuan asal Suruhanjaya Reid. Antara pengubahsuaian signifikan yang dilakukan menyentuh perkara-perkara berikut:

(i) Memperkukuh peranan Majlis Raja-Raja; sebagai forum yang melantik Ketua Negara; Majlis Raja-Raja berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung urusan lantikan tertentu menurut yang termaktub di dalam Perlembagaan; dan Majlis Raja-Raja perlu dirunding dalam perkara-perkara penting seperti perubahan sempadan dan wilayah, serta perkara yang menyentuh bidang kuasa Raja.

(ii) Menggugurkan perakuan yang meletakkan batasan masa lima belas tahun untuk melindungi keistimewaan orang Melayu.

(iii) Islam dikanunkan sebagai agama Persekutuan tanpa mengubah status Raja sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing; dan kebebasan beragama secara aman dan harmoni dijamin kepada bukan Islam.

(iv) Memberi kuasa budi bicara kepada kerajaan untuk memberi atau menolak permohonan kewarganegaraan.

(v) Memberi tempoh satu tahun kepada mereka yang memiliki dua kewarganegaraan membuat pilihan.

(vi) Membenarkan pengajaran bahasa Cina dan Tamil serta penggunaan bahasa-bahasa tersebut dalam urusan tidak rasmi.

Ketika kesetiaan warga kepada negeri masih begitu mendalam – ketika warga kuat memiliki kebanggaan terhadap warisan, adat dan tradisi setempat, Raja-Raja Melayu telah mempamerkan jiwa besar, memberi perkenan untuk penubuhan sebuah Persekutuan. Jiwa besar yang dipamerkan oleh Raja-Raja Melayu telah memudahkan urusan penggubalan Perlembagaan. Lantas PERLEMBAGAAN MERDEKA berjaya disiapkan mengikut jadual. Sesungguhnya sembilan Raja Melayu pada hakikatnya telah membuktikan sebaik contoh, semangat untuk merealisasikan perwujudan sebuah negara bangsa, apabila bersedia memberi perkenan mengurniakan sebahagian besar kedaulatan dan menyerahkan sebahagian besar kuasa negeri masing-masing, memungkinkan tertubuhnya sebuah Persekutuan, di bawah konsep Federalisme. Apabila Raja menemui kata muafakat, warga mencapai kata sepakat.

Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani pada 5 Ogos 1957 oleh Sir Donald Charles MacGillivray bagi pihak Ratu Inggeris dengan lapan Raja Melayu dan Tunku Mahkota Johor; berserta empat Undang dan Tunku Besar Tampin. Pada tarikh keramat, 31 Ogos 1957, Duke of Gloucester bagi pihak Ratu Inggeris menyerahkan Perlembagaan Persekutuan kepada Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra. Dalam gegak gempita teriakan MERDEKA: berkibarlah bendera JALUR GEMILANG, berkumandanglah lagu NEGARAKU, lahirlah sebuah negara merdeka lagi berdaulat. Perlembagaan Persekutuan berperanan sebagai carta dan kompas, sauh dan layar kepada sebuah bahtera merdeka. Pada September 1963, Akta Malaysia 26/1963 telah digubal, memberi wajah baru kepada PERLEMBAGAAN MERDEKA selaras dengan pembentukan negara MALAYSIA.

Perlembagaan sesebuah negara, sui generis sifatnya, iaitu berada dalam kelas tersendiri dan tidak sekadar dokumen undang-undang. Perlembagaan Persekutuan pada hakikatnya mengandungi semangat dan roh negara, mencerminkan persetujuan-persetujuan yang dicapai ketika negara memperoleh kemerdekaan; memperlihatkan semangat persefahaman – mempamerkan kesediaan berkompromi pelbagai pihak, mencerminkan satu kehalusan seni yang berjaya mengimbangkan kepentingan-kepentingan yang saling bercanggah – memanifestasikan pencapaian kata sepakat antara takhta dengan rakyat, antara rakyat sesama rakyat yang berlatar belakangkan pelbagai agama, kaum, budaya dan bahasa. Perlembagaan Persekutuan digubal bersumberkan warisan sejarah, satu kesinambungan yang berjaya mengekalkan tradisi ketika mengharung modenisasi. Termaktub di dalamnya, aspek warisan berkerajaan – aspek sejarah bernegara, berpayungkan Raja, bertiangkan Islam, bersalut budaya dan bahasa pribumi.

Perkara-perkara yang dizahirkan oleh Raja-Raja Melayu, sama ada secara lisan, perutusan warkah, begitu juga dalam mesyuarat-mesyuarat DURBAR, Majlis Mesyuarat Persekutuan dan Majlis Raja-Raja, dianyam di dalam Perlembagaan Persekutuan, menyentuh tujuh perkara utama, sering kali dirujuk pada hari ini sebagai tujuh wasiat Raja-Raja Melayu. Terpahat secara tersirat – tertera secara tersurat di dalam Perlembagaan Persekutuan semangat menjunjung Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu, yang secara tegas menetapkan antaranya, kedaulatan Raja-Raja, Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Tanah Simpanan Melayu, kedudukan istimewa Orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain, diberikan jaminan untuk dilindungi pada setiap masa. Perkara-perkara ini tidak boleh dipinda di dalam Perlembagaan tanpa perkenan Raja-Raja.

Setelah hampir enam puluh tahun tanah air mencapai kemerdekaan, setelah lima belas kali Raja Melayu secara bergilir bertakhta di singgah sana Ketua Utama Negara, setelah tiga belas kali pilihan raya umum dilangsungkan, dan setelah enam Perdana Menteri memimpin Kerajaan Persekutuan, pentafsiran Perlembagaan dengan perspektif yang menghormati sejarah penubuhan Malaysia, amatlah penting diperingatkan semula, malah wajib terus diperingatkan. Segala persetujuan, wajib dihormati. Perkara-perkara yang telah dipersetujui ketika penggubalan PERLEMBAGAAN MERDEKA, menyentuh prinsip-prinsip asas, tidak harus diperdagangkan untuk tujuan meraih keuntungan politik jangka pendek; tidak wajar dikorbankan kerana kepentingan untuk mengutamakan atau melindungi mana-mana pihak, baik organisasi mahupun individu. Prinsip-prinsip asas, terutama menyentuh Islam dan Melayu tidak boleh sama sekali dikompromikan. Walau apa sekalipun alasan, walau apa muslihatnya, matlamat jangka pendek oleh mana-mana pihak, jangan sampai ke peringkat menggadaikan nasib ummah di hari ini dan di hari muka. Ummah wajib berdiri teguh – berpendirian tegas, tidak berundur, walau setapak sekalipun.

Sebagai sebuah negara baharu, pelbagai institusi negara sebenarnya masih melalui proses transformasi untuk mencari keseimbangan. Tempoh masa enam puluh tahun memenuhi peranan raja berperlembagaan, memberikan kematangan pengalaman kepada Raja-Raja mencapai satu tahap kefahaman akan peranan takhta terhadap negara dan warga. Raja tidak sekadar pelengkap memenuhi adat, negara beraja – rakyat bersultan. Raja bukan sekadar simbol untuk melaksanakan tugas-tugas keraian semata-mata. Raja bukanlah monumen hiasan yang kaku – tanpa nyawa – tanpa jiwa. Raja-Raja tidak daripada kalangan insan yang buta penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan. Segala perkara yang berlaku adalah dalam ruang penglihatan dan pendengaran Raja-Raja. Pandangan berterus terang Raja-Raja dalam perkara-perkara berkaitan agama Islam, Bahasa Kebangsaan, perpaduan warga, kebebasan kehakiman, rasuah, salah guna kuasa, dan pelbagai lagi, tercetus daripada hasrat untuk memastikan negara terus stabil dan aman, warga terus sejahtera dan makmur.

Secara tradisi, sejak zaman berzaman, Raja setelah disembah maklum hal ehwal urusan negeri dan rakyat, mengamalkan sistem bermusyawarah untuk memperoleh nasihat dan pandangan. Berdasarkan catatan dalam Sulalat al-Salatin, sistem musyawarah amat diutamakan, dijadikan amanat penting kepada pewaris takhta seperti yang dilambangkan dalam wasiat Sultan Alauddin Shah kepada anakanda Baginda Sultan Mahmud Shah:

“Hai anakku, ketahui olehmu bahawa dunia ini tiada akan kekal adanya…melainkan iman…Adapun peninggalku ini hendaklah anakku berbuat ibadat sangat-sangat, jangan anakku mengambil hak segala manusia dengan tiada sebenarnya, kerana segala hamba ALLAH semuanya terserah kepadamu… Syahadan hendaklah engkau muafakat dengan segala perdana menteri dan segala orang besar-besar, kerana raja-raja itu jikalau bagaimana sekalipun bijaksananya dan tahunya sekalipun, jikalau tiada ia muafakat dengan segala pegawai, tiada akan sentosa adanya, dan tiada akan dapat ia melakukan adilnya; rakyat itu umpama akar, raja itu umpama pohonnya; jikalau tiada akar nescaya tiada akan dapat berdiri. Adapun segala anak Melayu, jikalau bagaimana sekalipun besar dosanya jangan segera kau bunuh, melainkan yang patut pada hukum ALLAH…jikalau kau bunuh ia dengan tiada dosanya, bahawa kerajaan mu binasa.”

Sistem raja berperlembagaan perlu ditafsiri sebagai perkongsian kuasa antara raja dan rakyat. Pada umumnya dan dalam banyak perkara Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat Perdana Menteri. Selaras dengan semangat raja berperlembagaan, peranan Raja adalah memerintah, bukan mentadbir, tetapi bertanggungjawab mengawasi dan memastikan berlakunya pentadbiran yang adil lagi saksama – teratur lagi telus. Demi memastikan takhta dihormati, Raja wajib bersifat berkecuali, memisahkan diri daripada terlibat dalam sebarang kancah pertelingkahan politik kepartian dan menjauhkan diri daripada dijadikan instrumen untuk kepentingan mana-mana pihak. Raja hanya terlibat pada waktu dan ketika yang diperlukan.

Berpandukan doktrin raja berperlembagaan – demokrasi berparlimen, peranan Raja hendaklah disandarkan kepada Perlembagaan Negara. Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara. Mematuhi dan menghormati perkara-perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan bukan satu pilihan, tetapi adalah satu kemestian untuk membolehkan sistem pemerintahan demokrasi yang sejati dapat ditegakkan. Terkandung 183 perkara di dalam Perlembagaan Negara, merupakan antara Perlembagaan bertulis yang paling komprehensif, meliputi pelbagai perkara, begitu menyeluruh, digubal secara terperinci – dihalusi secara teliti. Dalam bab akhir buku An Introduction To The Constitution of Malaysia, Tun Mohamed Suffian telah mencatat frasa berikut:

“For such a small country Malaysia has a fearfully long and elaborate Constitution and the visitor from Mars may be forgiven for thinking that our Constitution must have been devised by a mad professor of constitutional law

…It is axiomatic that the present does not exist in vacuo but arises from the past, and when one considers the history of the country it is not difficult to realise why our Constitution is the long document it is, for each state and each interest insists, and quite properly too, on the writing into the Constitution of safeguards regarding its right”.

Raja memenuhi satu keperluan perlembagaan secara simbolik – secara fungsi. Selaku Ketua Negara, Raja berperanan sebagai tonggak kestabilan – sumber keadilan, teras perpaduan – payung penyatuan; lantas meningkatkan tahap keyakinan rakyat kepada sistem berkerajaan dan sistem bernegara berteraskan amalan demokrasi, berakarkan doktrin pengasingan kuasa. Sepuluh peratus atau 19 daripada 183 Perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah Perkara-Perkara berkaitan Raja, mengabsahkan bahawa raja berperlembagaan di Malaysia berperanan penting dalam struktur kerajaan dan struktur negara bangsa.

Perlembagaan Persekutuan meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara, secara undang-undang menganggotai tiga cabang Kerajaan yang terdiri daripada cabang Perundangan, cabang Eksekutif dan cabang Kehakiman. Parlimen mengandungi tiga komponen, terdiri dari Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Diperuntukkan supaya Yang di-Pertuan Agong menurunkan cap mohor kepada Rang Undang-Undang yang telah diluluskan oleh Badan Perundangan. Baginda mempunyai kuasa memanggil, menangguh dan membubarkan Parlimen. Baginda adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan. Baginda berkuasa mengampuni dan menangguhkan sesuatu hukuman. Baginda bertanggung jawab memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain. Baginda diperuntukkan budi bicara melantik seorang Perdana Menteri, tidak mempersetujui permintaan membubarkan Parlimen, menitahkan supaya diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja untuk membincangkan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi negeri Baginda di samping berperanan sebagai Ketua Agama Islam di negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan. Baginda diperuntukkan kuasa melantik dan membatalkan lantikan jawatan Menteri dan Timbalan Menteri. Baginda diperuntukkan kuasa membuat pengisytiharan darurat serta mengisytiharkan apa-apa ordinan sekiranya kedua-dua Dewan Parlimen tidak bersidang secara serentak. Baginda diperuntukkan kuasa atas nasihat Perdana Menteri untuk melantik ahli Suruhanjaya Pasukan Polis, dan menurut budi bicara setelah menimbang nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja melantik ahli-ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran. Majoriti ahli-ahli Majlis Angkatan Tentera adalah atas lantikan Baginda. Bahagian Sembilan, Perlembagaan Persekutuan menggariskan peranan Yang di-Pertuan Agong dalam bidang Kehakiman. Atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja Baginda melantik Juru Audit Negara, sementara Peguam Negara dilantik oleh Baginda atas nasihat Perdana Menteri. Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan lima ahli Suruhanjaya Pilihan Raya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja dan Baginda dipertanggungjawab untuk memastikan Suruhanjaya Pilihan Raya mendapat kepercayaan awam.

Oleh itu amatlah tidak munasabah jika jawatan Ketua Utama Negara itu diwujudkan sekadar untuk menyempurnakan tugas-tugas ceremonial atau dianggap boneka untuk menurunkan mohor perkenan kepada setiap dokumen yang dipersembahkan, dengan mata tertutup, mulut terkunci dan tangan terikat, diwajibkan tanpa opsyen memberi sepenuh perkenan tanpa soal atas apa juga nasihat yang diangkat sembah kepada Baginda, apatah lagi jika nasihat tersebut menyimpang daripada undang-undang atau tergelincir daripada landasan keadilan atau berunsur penindasan atau boleh memudaratkan negara bangsa.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply